Situasi yang membuatkan saya ingin menangis

Hai semua kawan-kawan. Adakah hari anda berjalan dengan baik? Kepada yang muslim, bagaimanakah hari pertama anda berpuasa? Apakah jenis juadah sahur dan berbuka pada kali ini? Jika membeli juadah berbuka puasa di bazaar Ramadhan tu, berjimat cermatlah ya. Jangan membazir. Yalah, makanan yang dijual di sana tu semuanya sangat memikat selera. Hari ini bagi saya berjalan agak kurang baik. Bukanlah hari yang teruk. Cuma beberapa perkara yang membuatkan saya ingin menjerit kerana tekanan yang membuak-buak di dalam dada ini.
                                               
Berbalik kepada tajuk di atas. Ya, ada beberapa situasi yang boleh membuatkan saya ingin menggugurkan air mata. Banyak sebenarnya tapi buat entri ini saya akan pendekkan kepada tiga situasi. Baca sajalah ya. Mungkin sedikit sebanyak kita ada persamaan. Mungkin.

Situasi 1
Ketika ibubapa saya mengharapkan sesuatu yang terbaik daripada saya, saya tidak dapat memenuhi apa yang mereka harapkan itu. Situasi ini yang benar-benar membuatkan saya ingin menangis kerana saya merasakan diri ini sebagai anak yang tidak berguna. Anak yang telah menghampakan harapan ibubapa. Anak yang tidak berusaha sebaiknya untuk mereka. Ada satu peristiwa yang membuatkan saya rasa sangat bersalah kepada mereka terutamanya emak saya. Tahun lalu, saya telah mendapat jawatan dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sebagai Jurupulih Perubatan Anggota. Kursus selama 3 tahun yang ditawarkan itu bertempat di Johor. Emak berharap untuk saya pergi. Beliau sangat gembira dan bersyukur kerana saya bakal mendapat jawatan yang dikira bagus dan mempunyai masa depan yang cerah. Namun, saya telah menolak jawatan tersebut. Saya memberitahu emak bahawa saya tidak berminat dengan jawatan tersebut dan seribu satu alasan lain. Sebenarnya, saya membuat keputusan tersebut atas sebab yang lain. Saya minta maaf emak. Saya tahu emak marah dan kecewa.

Situasi 2
Semasa menghadapi masalah dalam perhubungan dengan pasangan. Kami kadang-kadang bergaduh dan berlarutan sehingga keesokan harinya. Kadang-kadang, pergaduhan itu menjadi semakin teruk. Sehingga bertegur sapa sesama sendiri pun susah. Ayat-ayat yang dikeluarkan dan tingkah laku agresif semasa pergaduhan itu benar-benar membuatkan saya ingin menangis dan terluka. Tetapi, bagi saya pergaduhan antara pasangan itu adalah lumrah dan kita kena menerimanya. Paling penting, perlu ada kesabaran, kesetiaan, kasih sayang dan rasa cinta supaya perhubungan akan kekal selamanya.

Situasi 3
Situasi terakhir yang boleh membuatkan saya ingin menangis ialah ketika banyak dugaan, halangan dan pancaroba datang bertalu-talu menimpa diri ini. Kadang-kadang, semua itu membuatkan saya lemah dan rasa tidak tertanggung beban itu. Walaupun saya mencuba sedaya-upaya untuk kuat, ada satu ketika saya rasa betul-betul tidak mampu sudah untuk menghadapi semuanya. Ketika ini saya telah diberi satu ujian dari-Nya, namun saya berusaha untuk kekal kuat dan menghadapinya dengan tenang. Satu sahaja cara untuk menongkah arus dugaan ini ialah berdoa. Berdoa, berdoa dan terus berdoa. Jika ingin melepaskan apa yang terbuku di hati, saya akan menangis pada waktu tengah malam. Itulah cara untuk membuatkan saya lega.



Ingat, orang yang menangis ialah orang yang kuat kerana menangis bukan bererti lemah.

Terima kasih kerana membaca

0 comments