Nuffnang ads

Wednesday, 2 July 2014

Cinta membuatkan hati suka dan benci

Selamat malam semua kawan-kawan. Malam ini mood saya sedikit suram. Namun, saya gagahkan juga diri untuk membuat entri ini.

Cinta. Apa itu cinta bagi kamu? Bagi saya cinta ialah hubungan kasih sayang antara dua insan yang diwarnai dengan kepercayaan, kesetiaan dan persefahaman antara satu sama lain. Jika satu daripada elemen ini hilang, nescaya tugu cinta yang dibina tidak akan bertahan dalam jangka masa yang lama. Cinta juga ialah sejenis perasaan yang membuatkan jiwa kita terikat bersama orang yang kita kasihi. Perasaan itulah yang membuatkan kita ingin sehidup dan semati bersama pasangan sehingga akhir hayat.

Cinta membuatkan hari-hari kita sentiasa cerah dan diwarnai dengan perasaan-perasaan yang indah. Kita akan sentiasa rasa suka dan bahagia di samping orang yang kita cintai itu dalam apa jua perkara yang kita lakukan bersama. Contohnya, makan bersama, menonton wayang bersama, membeli-belah bersama dan sebagainya.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Cinta juga boleh membuatkan kita berasa benci kepada pasangan kita. Cinta memberikan perasaan pahit bak hempedu yang tidak mampu kita telan. Kadang-kadang, kita mempersoalkan adakah pilihan kita untuk mencintainya satu keputusan yang tepat? Adakah hubungan ini cuma sebuah hubungan yang sementara? Adakah hubungan ini cuma berlandaskan nafsu bukannya cinta sejati? Benda-benda sebeginilah yang selalu bermain-main di kepala terutamanya semasa bergaduh dengan pasangan yang kita cintai itu.

Antara suka dan benci, tiada yang lebih baik. Suka dan benci inilah yang akan bergabung menjadi satu perasaan cinta tanpa penghujung. Jika cinta diwarnai dengan perasaan suka sahaja, tentu hubungan akan menjadi hambar dan begitu juga sebaliknya. Ini kerana cinta ibarat sehelai kain putih yang memerlukan pelbagai warna untuk dicoretkan menjadi potret cinta abadi.


Walaubagaimanapun, kita hanya mampu merancang kerana yang menentukan sama ada kita akan hidup selama-lamanya dengan pasangan yang sangat kita cinta itu ialah Tuhan.


Berikan 99% cinta kepada pasangan, 1% yang selebihnya simpanlah untuk diri sendiri bagi persediaan apabila hubungan itu tidak menjadi. Sekurang-kurangnya, 1% itu dapat menggembirakan hati kita semasa sedih.

Terima kasih kerana membaca